Friday, October 2, 2009

14 NGO Islam Pahang selar SIS, JAG

Sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang hari ini menyelar Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) berhubung kenyataan dua badan itu yang menganggap hukuman ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor sebagai kejam.

Menurut jurucakap 14 NGO Islam di Pahang itu, Amidi Abdul Manan, mereka juga meminta dua badan berkenaan menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini.

"Enakmen Pentadbiran Ugama dan Adat Resam Negeri Pahang 1982 (Pindaan 1987) adalah di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang diperkenankan Sultan Pahang. Menghina undang-undang syariah adalah bererti menghina Sultan Pahang.

"Kita juga menuntut penganut agama lain tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam," katanya kepada pemberita di Kuantan.

Baru-baru ini JAG dan SIS dalam laporan sebuah akhbar menyifatkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi sebagai kejam, mencabuli hak manusia antarabangsa dan menjatuhkan maruah seseorang.

Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Julai lepas selepas mengaku salah minum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Hukuman sebat itu kemudian ditangguhkan baru-baru ini bagi menghormati bulan puasa.

Amidi yang juga Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia berkata pihaknya juga akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang JAG dan SIS serta pihak-pihak lain daripada membuat sebarang kenyataan yang mempertikaikan sebarang pelaksanaan hukuman berkaitan agama Islam.

"Kami juga menyokong sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan menyokong sepenuhnya sikap dan pendirian Kartika Sari Dewi dan keluarganya berhubung kerelaannya menerima hukuman yang bakal dilaksanakan itu," katanya.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga diminta bertindak tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam dan perundangan syariah yang telah dijamin dalam perlembagaan negara.

"Kita juga telah membuat satu laporan polis terhadap JAG dan SIS berhubung kenyataan yang menghina Islam itu di balai polis daerah Kuantan hari ini," katanya.

14 badan berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia Pahang (ABIM), Peguam-peguam Syarie Negeri Pahang, Jemaah Islah Malaysia Negeri Pahang (JIM), Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia Pahang, Ikatan Muslimin Malaysia Pahang, Malaysia Chinese Muslim Association negeri Pahang, Pekida Pahang, Badan Nadwah Ummah Negeri Pahang, Wadah Pencerdasan Ummah negeri Pahang, Ikatan Pengkajian Islam Pahang, Majlis Kebajikan India Muslim Pahang, Persatuan Melayu Kuantan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Pahang dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Pahang.

Dalam perkembangan berkaitan, Amidi berkata pihaknya juga akan menganjurkan satu seminar berkaitan pelaksanaan hukuman sebat di dewan Jabatan Agama Islam Pahang pada 25 Oktober depan.

"Kita juga akan mengendalikan demonstrasi hukuman itu, butiran lengkap berkenaan seminar masih diperhalusi," katanya. - Bernama

p/s : Apalah nak jadi ngan puak2 nie...tu la masa kecik2 xmo nak ngaji agama betoi2 nie mai besaq nak wt pandai2 plak tentang agama bknnya nak tya org yg arif dlm bidang agama kalau tya pon bukannya nak ikut...tu kira okeyla kena 6 sebatan ja kalau ikut 40 hingga 80 sebatan..payah kira ngan depa nie...penin aku...huhuhu

sumber : http://malaysiakini.com/news/114100



0 comments: