Sunday, October 25, 2009

Majlis Penutup Bersama Mufti Mesir

Penutup Majlis Pembacaan Kutub Sittah Gilang Gemilang



Syeikh Dr. Ali Jumuah Di Majlis Penutup Kutub Sittah







Majlis Pembacaan Kutub Sittah Berjaya

Kaherah, 20 Oktober 2009 - Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir siri pertama melabuhkan tirai. Majlis yang telah berlangsung semenjak tiga hari yang lalu berlangsung dengan baik dan penuh harmoni tanpa ada sebarang cubaan sabotaj atau perbuatan khianat untuk menggagalkan majlis tersebut. Berbeza dengan keadaan tiga hari yang lalu, pihak penganjur iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir membuat keputusan mengadakan majlis penutupan Pembacaan Kutub Sittah siri pertama di Nadi Riadhi, Hayyu Sadis.

Dewan Nadi Riadhi, mula dibanjiri para peserta seawal jam 6.30 pagi dan pada hari yang terakhir para peserta kelihatan lebih bersemangat kerana hampir 98 peratus peserta mengenakan jubah putih bagi peserta lelaki dan tudung putih bagi peserta perempuan. Wajah berseri-seri dan penuh ceria dilihat pada semua peserta yang hadir pada majlis penutupan ini.




Majlis pembacaan Kitab Sahih Imam Bukhari dimulakan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Rifaat Fauzi Abdul Mutalib bermula pada hadith yg ke 1466 dan diteruskan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani. Majlis Pembacaan Kutub Sittah diakhiri oleh al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani pada hadith yang ke 1788 tepat jam 5 petang. Turut bersama adalah al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani , al-Allamah Syeikh Jamal Farouq dan Syeikh Toha Dusuqi al-Hubaisyi.

Sebelum bermula muhadhrah bersama al-Allamah Mufti, para masyaikh menyampaikan amanat dan kata-kata pendorong kepada semua yang hadir pada majlis tersebut. Antara yang ditegaskan dan diharapkan oleh para masyaikh adalah agar majlis dan program sebegini diteruskan pada masa yang akan datang.

Penghujung majlis, setelah selesai sesi muhadharah bersama al-Allamah Syeikh Dr. Ali Jumuah, sesi penghargaan kepada para masyaikh yang sudi meluangkan masa dalam menjayakan majlis ilmu ini dan majlis pengijazahan sanad kepada semua peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah siri pertama anjuran PMRAM.

sumber dari : http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/







Majlis Pembacaan Kutub Sittah Semakin Rancak

Kaherah, 19 Oktober - Setelah dua hari berlangsung, Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir dilihat semakin rancak berlangsung. Majlis pada hari ketiga bermula lebih awal iaitu sekitar jam 9.05 pagi dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al Quran daripada Ustaz Salman Ali Rejab dari Shoubra.



Pembacaan hadis Sahih Bukhari pada hari ini dimulakan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani bermula pada Kitab al Jumuah. Semasa waktu rehat, majlis diserikan dengan persembahan Qasihan daripada peserta negeri Selangor. Turut membacakan hadis pada hari ini adalah al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani dan Syeikh Dr. Usamah Mahmud al-Azhari.

Pembacaan hadis daripada Kitab Sahih Bukhari yang dimulakan pada hadis yang ke 875 pada Kitab al Jumuah sehingga hadis yang ke 1465 pada Kitab al-Zakat dengan jumlah pembacaan pada hari ini adalah sebanyak 591 buah hadis.

Majlis diakhiri dengan slot muhadhoroh bersama al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani. Antara yang menarik sesi tersebut, al-Allamah Syeikh Muhammad menceritakan tentang kisah hidup beliau dalam mendalami ilmu hadis, menegaskan tentang peri penting ilmu hadis dan beliau juga amat mengharapkan agar majlis pembacaan hadis-hadis Rasulullah dapat diteruskan pada masa akan datang. Beberapa cadangan yang dilontarkan oleh al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani adalah mengadakan majlis pembacaan hadis pada setiap minggu dan mengkhatamkan kitab hadis sahih pada setiap kali dalam bulan Ramadhan.



Rangkuman Berita Akhawat

Bermula seawal jam 7 pagi sesi pendaftaran telah dibuka kepada semua mahasiswi. Seramai 273 orang peserta termasuk peserta dari negara jiran iaitu Brunei dan Singapore telah menghadiri untuk bersama-sama menjayakan program ini.
Sepanjang majlis berlangsung, pihak PMRAM mengambil langkah inisiatif dengan mengadakan jualan sepanjang program ini berjalan. Jualan ini juga bertujuan untuk menambahkan lagi dana ekonomi PMRAM yang sedia ada.

Penampilan istimewa di pihak akhawat adalah isteri kepada Syeikh Dr. Usamah Mahmud al-Azhari telah mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan para peserta. Beliau juga sempat mentashihkan bacaan al-Quran dikalangan beberapa orang peserta. Sejurus selepas itu, beliau memberikan sedikit kalam taujihat kepada para peserta.


Satu kemalangan kecil telah berlaku sepanjang program ini berjalan. Seorang pemimpin HEWI PMRAM dan salah seorang AJK Unit Jamuan terkena curahan air panas kerana jag yang dipegangnya pecah. Salah seorang peserta dari pelajar Perubatan Zagazig telah merawat kedua-dua mereka tersebut.

Untuk Makluman kepada semua peserta yang mengikuti program ini, pihak Unit Fotografi dan Dokumentari telah membuka kaunter perkhidmatan untuk tempahan gambar-gambar kenangan sepanjang program.


Dan lagi possing dlm sesak2 naik tangga

sumber dari : http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/





Friday, October 23, 2009

Hari Kedua Kutub Sittah PMRAM : 874 Hadis Telah Dibaca

Kaherah, 18 Oktober - Hari kedua Majlis Pembacaan Kutub Sittah bersama para masyaikh al Azhar anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir diteruskan seawal jam 9.15 pagi. Seperti semalam, semangat cintakan ilmu yang ditonjolkan oleh para peserta semakin berkobar-kobar apabila mereka semua mula membanjiri kaunter pendaftaran seawal jam 8 pagi.

Pembacaan kitab Sahih Bukhari pada hari ini bermula pada hadis yang ke 187 pada kitab al-Wudu' oleh al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani. Majlis kemudianya diteruskan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq yang bergandingan dengan Syeikh Dr. Usamah sehingga solat maghrib. Turut bersama pada malam ini adalah al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani yang menyampaikan pembacaan seusai solat maghrib.





Majlis yang berlangsung dengan lancar pada hari ini tanpa sebarang gangguan berjaya menghabiskan sebanyak 689 buah hadis dan menjadikan sebanyak 874 buah hadis telah dibaca sehingga hari kedua majlis berlangsung.

Para masyaikh yang hadir meluahkan rasa amat berbangga dan berpuas hati kerana Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir buat julung kali mengadakan Majlis Sama' Ahadis Rasulullah sebegini kerana majlis seperti ini sudah sekian lama tidak diadakan. Para masyaikh juga mengharapkan agar majlis ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia adalah sunnah dan merupakan sebuah majlis ilmu yang penuh dengan keberkatan.

sumber: www.kutubsittah-pmram.blogspot.com






Majlis Pembacaan Kutub Sittah Berlangsung Baik

Kaherah, 17 Oktober - Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir berjaya dilangsungkan dengan jayanya. Berkat usaha gigih serta doa daripada semua pihak, Allah mengizinkan majlis pembacaan hadis Rasulullah s.a.w daripada kitab Sahih Bukhari dilaksanakan dengan jayanya tanpa sebarang gangguan dan masalah yang tidak diingini.

Sesi pendaftaran para peserta bermula seawal jam 8.00 pagi dan majlis perasmian disempurnakan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Usamah al-Azhari. Para peserta terpegun dan bersemangat dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Syeikh Dr. Usamah. Turut bersama dalam majlis perasmian adalah al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq. Majlis pembacaan hadis Rasulullah s.a.w daripada kitab Sahih Bukhari dimulakan pada jam 1.15 petang secara bergilir-gilir oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq, al-Allamnah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani dan al-Allamah Syeikh Dr. Usamah al-Azhari. Sekitar jam 2.45 petang, majlis berhenti rehat seketika dan sesi pembacaan Sahih Bukhari kembali diteruskan pada jam 3.45 petang oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq sehingga waktu maghrib. Pada hari pertama program, dianggarkan lebih daripada 630 peserta yang hadir bagi menjayakan majlis pembacaan hadis tersebut.

Majlis pembacaan diteruskan seusai solat maghrib oleh al-Allamah Syeikh Dr. Rifa'at Fauzi Abdul Mutalib ditemani al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani. Sepanjang majlis berlangsung, para masyaikh telah membaca Sahih Bukhari bermula daripada hadis yang pertama pada Kitab Bad el Wahyi sehingga hadis yang ke 186 pada Kitab al Wudu'. Majlis berakhir sekitar jam 8.30 malam.

Semoga usaha murni Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir yang menganjurkan Majlis Pembacaan Kutub Sittah bersama para masyaikh Al Azhar dilimpahi keberkatan, rahmat dan mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t serta dapat diteruskan sehingga keakhirnya. Majlis tersebut akan diteruskan sehingga ke hari terakhir pada 20 Oktober 2009.





Segala maklumat lanjut, bolehlah merujuk terus kepada laman blog rasmi Majlis Pembacaan Kutub Sittah di alamat www.kutubsittah-pmram.blogspot.com









Alhamdulillah Wa syukrulillah


Banner Kutub Sittah

Kitab Sohih Bukhari

Salam alaik kepada semua kwn2 harap maaf byk2 kerana lama dh aku x post apa2 dlm nie cz cbuk sikit dlm mggu nie.pertama2nya kupanjatjan kesukuran kepada ALLAH SWT keatas nikmatnya yg tak terperi kerana menjayakan Majlis KutubSittah anjuran PMRAM dibumi barakah ini walaupun dicemari dgn dugaan dan cubaan pihak2 yg tak bertanggungjawab untuk menhancurkan hasrat yg murni ini. Disini aku bukannya nak cerita panjang sgt tp nak bagitaw perjalanan selama 4 hari 4 malam kami bersama Masyeikhul Azhar. Dan aku sertakan gambaq2 kami..hehehe












Thursday, October 15, 2009

LAGENDA GADIS KEDAI BUNGA

Dia mencari pasti di lorong sepi kota pinggiran. Sunyi dari bingar dan kesesakan kenderaan. Dia masih setia menanti jawapan dari penghuni lama yang berkumis tebal sambil bersantai leka di warung kecil. Dia tekun mendengar penjelasan daripada si tua itu tentang kisah lalu. Dia sayu mencula egonya untuk menerima hakikat sebuah kisah yang mencalar memori.

"Dulu memang Pak Andak setuju dengan kata-kata kamu. Kedai bunga itu memang ada di situ. Tapi itu 10 tahun yang lampau. Selepas pemiliknya menjual kedai itu kepada seorang taukeh Cina berlaku pembunuhan misteri ke atas bekas pemilik kedai itu suami isteri. Tapi tiada sebarang siasatan yang dilakukan. Seolah-olah pembunuhan itu telah dirancang oleh pihak tertentu." Pak Andak berhenti berbicara sambil mengeluh pasrah.

Dia masih terkedu mendengar kisah itu. Dia bagai terpukau mendengar antologi sebuah lagenda yang khilaf pada minda fikirnya. Dia tersenyum bagai dipaksa. Kenangan lalu masih seolah-olah terbayang di depan matanya. Dia menoleh semula ke lokasi kedai bunga tempat Dia menemui kekasih hatinya Wirda. Hakikatnya memang tiada kedai bunga di situ. Cuma sebuah memori lalu menghantui akalnya.

"Selepas kedai itu dijual, taukeh itu tidak lagi meneruskan niaga jual bunga, sebaliknya kedai itu terbiar usang. Dengar-dengar cerita taukeh cina itu kalah judi. Dia juga mati secara misteri. Orang kata kedai bunga itu ada puaka. Pemiliknya kerap ditimpa malapetaka. Kedai itu terbiar untuk beberapa lama hinggalah Majlis Bandaraya merobohkan kedai itu untuk digantikan dengan beberapa kerusi batu untuk orang ramai bersantai. Tapi lokasi itu tetap lengang jua. Pak Andak pun kurang pasti kenapa. Barangkali mereka tahu kisah-kisah misteri itu. Ada di kalangan mereka yang sempat berbual tentang kisah-kisah seram semasa mereka minum petang di warung Pak Andak."

"Apa yang mereka bualkan?" Dia bertanya penuh minat.

"Tentang hantu."

"Hantu?" Dia terkasima.

"Pak Andak pun tak pasti kebenarannya sebab Pak Andak pun tak pernah jumpa. Mereka kata hantu itu sering kelihatan di bekas lokasi kedai bunga itu. Lagipun jalan raya ni memang kawasan kemalangan." Keluh Pak Andak sambil tersenyum tawar.

"Minumlah air itu! Pak Andak belanja." Pelawa Pak Andak.

Dia masih ragu dengan penjelasan Pak Andak. Mana mungkin peristiwa berlainan berlaku dalam situasi yang sama. Tambahan pula di lokasi yang serupa. Mindanya ligat berkira-kira… tapi tak patut pula Pak Andak mereka-reka cerita.

"Siapa nama gadis yang kamu cari tu?" Soal Pak Andak seraya melepas asap rokoknya. Berkepul-kepul berlegar di ruang udara. Akhirnya hilang. Seperti hilangnya gadis kedai bunga dari pandangan mata Dia.

"Wirda Iskandar."

"Wirda!" Pak Andak seolah-olah terkejut.

"Ya, kenapa?" Soal Dia.

"Pak Andak kenal benar dengan Wirda. Kalau yang kamu maksudkan itu Wirda yang bekerja di kedai bunga itu Pak Andak memang pasti. Dulu dia bekerja di kedai bunga itu membantu tuan punya kedai bunga tersebut. Sekitar hampir setahun lebih dia bekerja. Pak Andak memang baik sangat dengan dia. Lagi pun Pak Andak anggap dia macam anak Pak Andak sendiri. Kalau tak salah Pak Andak masa tu dia menunggu tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat universiti. Dia berkerja sementara di situ. Katanya dia orang susah. Anak yatim piatu. Tiada saudara-mara." Pak Andak berbicara bernada sayu.

"Tapi kalau lima tahun yang lalu memang kedai bunga itu sudah tiada. Seingat Pak Andak kedai bunga itu dirobohkan selepas dua tahun pembunuhan misteri itu berlaku. Lagipun taukeh cina yang membeli kedai itu juga mati dalam tahun yang sama. Lebih kurang lapan tahun yang lalu kedai bunga itu sudah tiada. Cerita kamu tentang kedai itu cuma sekitar lima tahun lepas. Itu mustahil. Pak Andak menyaksikan segalanya."

"Kemana kamu pergi dalam tempoh lima tahun tersebut?" Pak Andak kembali menyoal setelah lama bercerita.

"Saya sambung belajar." Jelas Dia.

"Di mana?"

"Di luar negara. Saya tidak pernah pulang ke tanahair dalam tempoh tersebut sebab saya nekad menyudahkan pelajaran di peringkat ijazah. Itu janji saya pada Wirda."

"Janji.?"

Pak Andak semakin bingung.

"Bagaimana kamu boleh buat janji dengan Wirda.?"

"Beberapa bulan sebelum saya berangkat ke luar negara, saya mengenali Wirda. Dipendekkan cerita… saya jatuh cinta terhadap kemurnian peribadi Wirda. Saya jelaskan kepadanya isi hati saya. Saya sanggup menolak tawaran pelajaran demi cinta saya terhadapnya. Tapi Wirda menolak lamaran saya. Dia cuma akan menerima lamaran saya kalau saya melamarnya setelah saya pulang membawa kejayaan. Itu syarat Wirda terhadap saya. Dia akan sanggup menunggu saya." Cerita Dia pada Pak Andak.

"Kamu cuma bercinta dengan khayalan." Jelas Pak Andak serius.

Kali ini Dia pula yang bingung dengan kata-kata Pak Andak.

"Kenapa Pak Andak kata begitu.?"

"Sebab cinta kamu sebenarnya tidak pernah wujud. Kamu telah dipermainkan waktu. Lupakanlah Wirda."

"Kenapa saya perlu lupakan dia pula? Sedangkan saya ada janji dengan dia. Janji mesti ditunaikan sebab manusia berpegang pada janji."

"Di mana Wirda sekarang?"

"Wirda sudah lama pergi."

"Ke mana?"

"Ke alam yang abadi."

Dia terkedu. Sepi tanpa bicara sambil membuang pandang ke arah lain. Dia mengucap istighfar berkali-kali. Dia bagai tidak boleh percaya pada cerita Pak Andak.

"Wirda diseret sebuah lori pemandu mabuk sewaktu dia ingin melintas ke warung Pak Andak. Dia meninggal di depan sana." Ujar Pak Andak sambil menunjuk ke arah jalan raya.

"Kejadian itu sudah lama. Selepas kematiannya kedai bunga itu bertukar wajah. Sebelum kematiannya kedai itu sering dikunjungi, tetapi sebaliknya selepas pemergian Wirda. Tuan punya kedai itu mengambil keputusan nekad menjual kedai itu. Kronologinya seperti yang Pak Andak ceritakan tadi. Tapi kejadian itu sudah lebih sepuluh tahun lepas."

"Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal."

"Mustahil saya bercinta dengan seorang yang telah tiada!" Protes Dia bersahaja.

"Wirda tu budak bagus. Dia ada wawasan. Walapun dia tiada saudara-mara tapi dia tabah hidup berdikari. Sebelum bekerja di kedai bunga tu Pak Andak dengar dari ceritanya sudah banyak kerja yang pernah dilakukan. Dia bercita-cita tinggi. Dia nak sambung pelajaran sampai universiti. Tapi takdir mengatasi segalanya. Tuhan lebih menyayanginya. Dia kembali dengan ketenangan sebelum impiannya menjadi kenyataan."

Beberapa minggu selepas pertemuan pertama Dia dengan Pak Andak di warung depan lokasi kedai bunga itu, Dia kembali bertandang. Kali ini Dia bersungguh-sungguh untuk mendapat kepastian daripada Pak Andak dan untuk mengucap selamat tinggal kepada kerusi-kerusi batu yang menjadi ganti kedai bunga yang sebenarnya sudah lama tiada. Petang itu Dia ingin menghabiskan masa di kerusi batu itu. Dia mengajak Pak Andak bersantai bersamanya. Pak Andak menolak dengan alasan banyak kerja yang perlu dilakukan di warung miliknya.

Dia melakar puisi khas untuk Wirda.

Wirda…
Hembusan angin petang ini
Mengingatkan aku pada kisah lalu
Aku pasrah
Dalam getar aku cuba mengerti
Sebuah percaturan yang kulalui
Bersamamu… duhai kasihku
Aku ingin kepastian darimu
Tentang kisah cinta kita
Kerana telah tersemat kukuh
di memori ini
Sebuah nostalgia
Antara aku dan dikau
Bagai baru semalam kita mengukir janji…


"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Seorang gadis tercegat di depan Dia.

"Boleh saya duduk?"

"Silakan…!" Pelawa Dia bersahaja.

"Saya perhatikan awak dari tadi lagi. Nampaknya awak asyik menulis sesuatu. Boleh saya baca. Itu pun kalau ia bukan rahsia." Pinta gadis tadi sambil mengukir senyum.

Dia menghulurkan lembar puisi kepada gadis itu.Gadis itu membacakan puisi sepontan Dia. Dia tersenyum sambil memandang si gadis.

"Saya tak pandai menulis puisi… sebab bukan bidang saya."

"Tapi saya kagum dengan puisi awak." Seloroh gadis itu.

Dia tersenyum malu.

"Nampaknya untuk seseorang yang istimewa bukan?"Lanjut si gadis.

"Begitulah seadanya."

"Nampaknya awak orang baru di sini?"

"Ya… Saya baru pulang dari oversea."

"Belajar?" "Ya."

"Bidang?" "Agama. Maksud saya Syariah Islamiah"

"Tentu awak dari Timur tengah kan? Hadiahkan puisi ini untuk saya." Pinta si gadis.

"Saya tak kenal awak. Kenapa awak mintak puisi saya pula?"

"Sebab saya suka puisi awak. Saya sekarang masih menuntut di tahun akhir dalam jurusan kesusateraan Melayu. Saya minat puisi awak. Tentu ianya ditulis bukan sekadar rekaan… tetapi ianya lahir dari lubuk hati dan merupakan satu realiti yang pernah awak lalui… Saya cuma meneka "

"Orang sastera selalunya ada point untuk berbicara." Ujar Dia menguji si gadis.

"Siapa nama awak?"

"Alif." Jawab Dia.

"Alif… tentu awak ni tetap pendirian kan? Macam huruf alif. Tegak dan tetap." Si Gadis ketawa manja.

Dia mengalih pandangan pada si gadis. Persis wajah Wirda. Getus hati kecilnya sendiri.

"Mesti ada sebab lain kenapa awak nak puisi saya." "Saya cuma mengagak." Dia menduga si gadis.

"Barangkali awak betul." Balas si gadis.

"Sebab puisi ini untuk saya. Mana awak dapat nama Wirda ni?"

"Oooo… itu kisah lama saya."

"Tapi itu nama saya." Ujar si gadis. Kali ini nampaknya si gadis serius.

Dia memerhati jam tangannya. Sudah hampir pukul enam petang. Dia perlu pulang ke rumahnya untuk berkemas. Esok dia akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pengajiannya di peringkat ijazah lanjutan (Master). Tetapi kemunculan gadis itu melekakan Dia petang itu.

"Nama awak?"

"Ya…Wirda. Itu nama saya."

"Barangkali itu cuma satu kebetulan." Ujar Dia bersahaja sambil teringat memori silam.

"Katakanlah yang awak pernah mengenali seorang gadis bernama Wirda suatu masa dahulu." Kali ini si gadis semakin mendesak.

"Ya… tapi ianya sebuah lagenda yang saya sendiri tak pasti sejauhmana kebenarannya. Sebuah kisah yang saya perlu lupakan sebetulnya."

"Mengapa?"

"Sebab…sebab… Wirda saya tidak pernah wujud pada zaman saya. Saya cuma bercinta dengan bayang-bayang." Dia menunduk pasrah.

"Bayang-bayang bukankah cuma ada bila awak disuluh cahaya. Apabila awak berada dalam kepekatan kegelapan bayang-bayang akan sirna bersama kegelapan. Namun bayang-bayang berjalan bila awak berjalan. Dia berlari bila awak berlari dan dia sentiasa bersama awak. Awak tidak rugi bercinta dengan bayang-bayang dengan syarat awak berada bersama suluhan cahaya. Tetapi Wirda di depan awak sekarang bukan bayang-bayang yang awak takutkan."

"Itu cuma pujangga awak saja. Orang sastera memang begitu. Suka menyusun ayat-ayat manis sebagai halwa telinga semata-mata…namun untuk merealitikannya biasanya orang seperti awak akan kalah." Dia memprotes.

"Bagaimana kalau saya katakan sayalah Wirda yang awak cari. Justeru saya nak buktikan kemanisan kata-kata saya. Saya bersedia mengganti Wirda yang awak impikan." Si gadis mencelah. Kali ini nadanya tegas.

"Siapa awak sebenarnya?"

"Saya Wirdatun Nisa' Kamarudin. Just call me Wirda." Tegas si gadis.

Kali ini Dia bagai terpukau dengan si gadis di depannya. Dia serba-salah. Dia merasakan seolah si gadis melamarnya. Perkenalan singkat itu adalah episod baru bagi Dia. Dia menangguhkan penerbangannya ke Mesir esoknya. Dia akan menerima lamaran Wirda barunya. Esok mereka akan bertemu lagi di kerusi-kerusi batu itu. Di situlah dia merakam memori lalu bersama Wirda Iskandar. Di situ jugalah dia bertemu Wirdatun Nisa' Kamarudin. Dia semakin kagum dengan percaturan Ilahi. Betapa kekuasaanNya mengatai segalanya. Dia mula belajar tentang hikmah pertemuan dan perpisahan. Dia bersetuju untuk bertemu Wirdatun Nisa' petang esoknya. Barangkali kerana Dia tidak lagi mahu kehilangan Wirda untuk kali kedua.

Dia datang kepada saya. Dia mengucup saya. Dia membelai saya penuh kelembutan. Entah mengapa saya pun kurang mengerti tindakan Dia terhadap saya.

"Wahai bunga mawar. Kau telah saksikan episod cintaku." Ujar Dia kepada saya.

Dia pergi bersama Wirdanya meninggalkan saya bersama kerusi-kerusi batu. Itulah kisah si Dia.



Nukilan: Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.




Nukilan : Ahmad Tarmizi Ismail
Nama Pena : Akhi Masrawi
Fakulti : Syariah dan Undang-undang
Universiti : Al-azhar cawangan Tanta.
e-mail : akhimizi@yahoo.com

Tarikh: 3 Februari 2002.

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

p/s : sj aku masukkan cerpen bebudak mesir nie, nak habaq la budak pengajian agama mcm kami nie pon ada kebolehan menulis cerita...hehehehe















Monday, October 12, 2009

ADIK








Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi.

Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik.

Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid.

Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk dipenjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid.

Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan.

Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid.

Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah.

Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.

"Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. AAdik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk dipenjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah

Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.

"Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu.

Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam.

Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi.

Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menangis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa.

Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik.

Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang.
"Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh.

"Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi.

Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil.

Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu.

Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik.

Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi.

Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.

"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik.

"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.
"Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi.
Ummi senyum.

"Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi.

Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran.

"Bismillahirrahmanirrahim.."

Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari.

Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.

"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.

"Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda.

Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap.

Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji.

Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya.

Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan akhirnya Jamal. Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel.

Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah.

Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....

"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa.

Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.

"Ummi.adik rasa mengantuk,adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.

Sumber: Palestinkini.Info





Sunday, October 11, 2009

KeTaM MaSaK LeMaK CiLi aPi

Salam...lama x masukkan post dlm nie cz aku cbuk sket..al-maklumlah mula2 kemas umah ataih(umah lama tingkat 6 Ahmed Hafiz Eywad Street) pastu angkat brg turun bwh(umah skrang kt Muniri Gindi Street tingkat bwh skali)hahaha...
dh tu blom abeh penat lelah and nak termuntah lg kena plak angkut kotak2 yg nak dipos lajukan ke malaysia....soma skali 3 trip plak tu..cuba bayangkan...huhuhu..cam cita seram plak...30biji kotak setiap 1 trip???mau patah pinggang aku..hahaha..tp x per demi menyara keluarga(bila masa plak aku kawen?)hahahaha...

apa sebenarnya soma cita nie dgn ketam masak lemak cili api aku nie??wakakkakaka....selingan jew, yg sebonarnyer eden nak cito masak lomak nie aahh...(bleh la sket2 kata bapak aku pqg nogori)...mek aku taruk gambo la sonang...korang ushar sendiri..resipi nie ada la aowg awek tu bg kt aku...tp bkn aku masak pown..hahahaha..member aku yg sowg nie nak sesgt masak lantak la...bg jew dia masak tp...jeng.jeg..jeng..perrgghh!!!



alamak silap gambo plak..hehehe..nielah kuih raya yg hancur...member aku terima dr malaysia ada owg kirimkan tok dia..sian..pg raya kami tgk je la..hahaha




hah..yg nie bru betol...huhuhu..ketam masak lomak cili api..hehehe

kami dh lama x makan nie...beli dua kilo masak smpei sekilo lebih..pastu pakat2 beringus dok sedut ketam nie..wakakaka..sedap maaa...





saja aku boh 1 lg gambo nie...nak kasi korng terliuq sket..hahaha..

lg 1 aku menyampah boh gambaq nie sbb line x mesit nie tah la lembab nak mampuih...tp x pa berkat kesabaran aku yg mendlm nie(terover sket) aku berjaya juga menunggu smpei siap pg2 nie...huhuhu

p/s : aku lupa plak nak amek gambaq masak lemak ikan keli ngan masak merah ikan talapia tp arab pggl ikan nie apa tah aku pown dh lupa..hehehe




Friday, October 2, 2009

Israel Tutup Perbatasan Tebing Barat 10 Hari

Israel menutup perbatasan Tebing Barat selama 10 hari untuk keperluan perayaan Sukkot, perayaan agama Yahudi. Penutupan dilakukan mulai Khamis (1/10) dan akan dibuka kembali hari Sabtu malam minggu depan.

Pengumuman penutupan perbatasan di Tebing Barat diumumkan oleh jubir militer Israel. Dengan demikian, warga Palestin tidak diperkenankan untuk keluar masuk perbatasan Tebing Barat dengan wilayah Israel. Namun jubir militer berjanji, pengecualian akan diberikan bagi mereka yang memerlukan rawatan perubatan.

"Bantuan kemanusiaan, termasuk doktor, tenaga medik, pekerja LSM, pengacara, agamawan dan kelompok-kelompok profesional lainnya dibolehkan untuk melintasi perbatasan dengan otorisasi dari Kordinasi Distrik dan Kantor Penghubung," demikian pernyataan militer Israel.

Israel memang kerap menutup perbatasannya dengan Palestin pada saat perayaan agama Yahudi, dengan alasan keamanan warga Yahudi Israel saat memperingati perayaan itu. (ln/prtv).


14 NGO Islam Pahang selar SIS, JAG

Sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang hari ini menyelar Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) berhubung kenyataan dua badan itu yang menganggap hukuman ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor sebagai kejam.

Menurut jurucakap 14 NGO Islam di Pahang itu, Amidi Abdul Manan, mereka juga meminta dua badan berkenaan menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini.

"Enakmen Pentadbiran Ugama dan Adat Resam Negeri Pahang 1982 (Pindaan 1987) adalah di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang diperkenankan Sultan Pahang. Menghina undang-undang syariah adalah bererti menghina Sultan Pahang.

"Kita juga menuntut penganut agama lain tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam," katanya kepada pemberita di Kuantan.

Baru-baru ini JAG dan SIS dalam laporan sebuah akhbar menyifatkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi sebagai kejam, mencabuli hak manusia antarabangsa dan menjatuhkan maruah seseorang.

Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Julai lepas selepas mengaku salah minum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Hukuman sebat itu kemudian ditangguhkan baru-baru ini bagi menghormati bulan puasa.

Amidi yang juga Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia berkata pihaknya juga akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang JAG dan SIS serta pihak-pihak lain daripada membuat sebarang kenyataan yang mempertikaikan sebarang pelaksanaan hukuman berkaitan agama Islam.

"Kami juga menyokong sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan menyokong sepenuhnya sikap dan pendirian Kartika Sari Dewi dan keluarganya berhubung kerelaannya menerima hukuman yang bakal dilaksanakan itu," katanya.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga diminta bertindak tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam dan perundangan syariah yang telah dijamin dalam perlembagaan negara.

"Kita juga telah membuat satu laporan polis terhadap JAG dan SIS berhubung kenyataan yang menghina Islam itu di balai polis daerah Kuantan hari ini," katanya.

14 badan berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia Pahang (ABIM), Peguam-peguam Syarie Negeri Pahang, Jemaah Islah Malaysia Negeri Pahang (JIM), Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia Pahang, Ikatan Muslimin Malaysia Pahang, Malaysia Chinese Muslim Association negeri Pahang, Pekida Pahang, Badan Nadwah Ummah Negeri Pahang, Wadah Pencerdasan Ummah negeri Pahang, Ikatan Pengkajian Islam Pahang, Majlis Kebajikan India Muslim Pahang, Persatuan Melayu Kuantan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Pahang dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Pahang.

Dalam perkembangan berkaitan, Amidi berkata pihaknya juga akan menganjurkan satu seminar berkaitan pelaksanaan hukuman sebat di dewan Jabatan Agama Islam Pahang pada 25 Oktober depan.

"Kita juga akan mengendalikan demonstrasi hukuman itu, butiran lengkap berkenaan seminar masih diperhalusi," katanya. - Bernama

p/s : Apalah nak jadi ngan puak2 nie...tu la masa kecik2 xmo nak ngaji agama betoi2 nie mai besaq nak wt pandai2 plak tentang agama bknnya nak tya org yg arif dlm bidang agama kalau tya pon bukannya nak ikut...tu kira okeyla kena 6 sebatan ja kalau ikut 40 hingga 80 sebatan..payah kira ngan depa nie...penin aku...huhuhu

sumber : http://malaysiakini.com/news/114100



Thursday, October 1, 2009

3 Oktober 2009 - Tarikh Permulaan Sesi Perkuliahan Bagi Universiti Al - Azhar Dan Universiti - universiti Di Sekitar Negara Mesir

Setelah sekian lama bercuti, kini sesi perkuliahan di Universiti Al Azhar akan membuka tirainya tidak berapa lama lagi. Tarikh 3 Oktober 2009 merupakan tarikh rasmi permulaan sesi perkuliahan Universiti Al Azhar serta universiti-universiti yang berada di sekitar negara Mesir. Kenyataan ini telah dibuat di beberapa akhbar terkemuka di Negara ini. Justeru, pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir mengucapkan selamat menjalani sesi baru perkuliahan untuk sesi 2009/2010. Pihak PMRAM juga mengharapkan agar semua mahasiswa/wi Malaysia memanfaatkan waktu yang sebaiknya untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang disampaikan oleh para pensyarah. Selain itu, pihak PMRAM amat mengharapkan agar mahasiswa/wi tidak leka dan culas terhadap apa jua urusan pendaftaran sesi baru dan diharapkan agar dapat membuat urusan seawal mungkin bagi mengelakkan mengganggu waktu perkuliahan yang berjalan. Semoga dengan kehadiran sesi perkuliahan yang bakal menjelang ini dapat memberikan momentum terbaik untuk kita berjaya dunia dan akhirat.

p/s :http://www.pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=682:3-oktober-2009-tarikh-permulaan-sesi-perkuliahan-bagi-universiti-al-azhar-dan-universiti-universiti-di-sekitar-negara-mesir&catid=6:pengumuman&Itemid=68






Ahlan Bikum Akhi2ku Sekalian


SAYA WAKIL BAGI PIHAK RUMAH TINGKAT ENAM & RUMAH BELAKANG

mengucapkan

Selamat Data
ng kepada semua mahasiswa baru yang selamat sampai di bumi Mesir umumnya dan Shoubra khususnya. Semoga kedatangan kalian akan menyerikan lagi susana ilmu di bumi bertuah ini. Di kesempatan ini rasanya belum terlambat ingin kami mengucapkan Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikum dan Kullu Sanah Wa Antum Toyyibun.